Monday, August 16, 2010

Perbanyakkan istighfar...


Assalamualaikum warahmatullah,

Beristighfarlah dan selalulah bertaubat, kerana pada Dia, kita memohon segala-galanya. Itulah pesanan yang kerap diterima dari para ulamak. Jangan meremehkan istighfar. Istighfar mempunyai kekuatan tersendiri. Walaupun perkataan itu kelihatan seperti pengakuan taubat, namun implikasinya terlalu jauh dari itu. Istighfar tidak hanya boleh disebut sewaktu selesai bersolat. Ianya boleh disebut dimana sahaja, pada bila-bila masa.
Istighfar atau taubat antara perkara yang menjamin murah rezeki.

Taubat bermaksud meninggalkan dosa kerana keburukannya dan ia perlu kepada tiga syarat andai berkaitan dengan hak Allah AWT iaitu :
  1. Meninggalkan dosa
  2. Menyesal untuk tidak melakukannya
  3. Berazam untuk tidak melakukannya
  4. Sementara jika berkaitan dengan hak manusia pula, hendaklah memulangkan semula yang empunya hak itu
Taubat bukan sekadar di hati tetapi juga dengan ucapan yang terbit dari lidah. Sayidina Ali umpamanya pernah menyuruh seorang sahabat yang beristighfar agar mengulang semula istighfarnya kerana istighfar itu dilakukan tanpa roh penghayatan. Banyak peringatan Allah SWT mengenai istighfar yang dikaitkan sebagai pintu pembuka rezeki dan lorong beroleh keredaan Allah SWT. Dalam surah Nuh ayat 10~12, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sehingga aku berkata kepada mereka : Pohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat yang mencurah-curah kepada kamu. Dan Dia akan memberi kamu banyak harta kekayaan serta anak-pinak. Dan Dia memberi kamu kebun-kebun tanaman serta mengalirkan sungai-sungai bagi kamu.”

Malahan, ulamak sufi ataupun ulamak tasawwuf menyatakan bahawa dengan beristighfar. Jiwa kita akan lebih dekat dengan Allah. Kita akan sentiasa terpelihara dari segala perbuatan keji dan mungkar. Bila lidah kita sentiasa menyebut istighfar dengan berulang kali, maka hati kita akan sentiasa ‘dihalakan’ untuk mengabdikan diri dan menyucikan jiwa ke arah ‘perhambaan’.

Sebutan istighfar adalah seperti berikut dan membawa maksud seperti, ‘astaghfirullah’, yang bermakna
“Aku memohon keampunan Allah”. Dalam bahasa Inggeris, ianya membawa maksud, “I seek forgiveness from Allah”.

Sebutan istighfar yang lebih lengkap adalah, - ‘astaghfirullah hal aazim, allazi la ila ha illah hual hayyul qayyum, wa‘atu bu ilaik’, yang membawa maksud, “Aku memohon ampun kepada Allah yang tidak ada tuhan selain DIA, yang hidup dan selalu jaga, dan aku bertaubat pada-Mu”.

Selain mata, bahagian atau anggota manusia yang paling mudah dan senang untuk melakukan dosa dan maksiat ialah LIDAH. Lidah mudah saja mencerca, memaki hamun, mengumpat, mengutuk, memfitnah, menjatuhkan maruah, bercakap kotor, dan sebagainya adalah perbuatan maksiat dan mungkar yang berhubung secara langsung antara hati dengan lidah.


Seperkara yang perlu diingat. Andainya kita berdosa secara langsung dengan Allah. Maka hendaklah kita beristighfar dan bertaubat dengan sesungguh-sungguhnya, menyesal dengan perbuatan keji yang kita lakukan. Dan seterusnya ialah perbanyakkan amalan sunat bagi menampung segala kekurangan yang ada.

Namun, andainya kita melakukan kesalahan terhadap sesama manusia, sepertimana perbuatan mengumpat dan segala macam dosa yang dilakukan melalui lidah. Maka, tidak cukup dengan sekadar bertaubat dan beristihgfar memohon keampunan dari Allah, malah adalah menjadi tugas dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan, iaitu memohon maaf dari manusia itu sendiri. Bukan satu jenaka, tapi permohonan maaf kepada manusia yang telah kita umpat dan sebagainya itu wajar dilakukan seberapa segera yang mungkin. Kerana ajal maut tidak kita ketahui, bilakah kehadirannya.

Begitu sukar untuk memohon maaf dari sesama manusia. Kerana, Allah adalah tuhan yang Maha Pengampun, hinggakan ada di kalangan ulama yang secara sinis memberikan ungkapan seperti, “Bukan hendak menyatakan bahawa tidak mengapa jika berdosa dengan tuhan, kerana Allah Maha Pengampun. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah, andainya kita berdosa dengan manusia, hendaklah diketahui bahawa manusia memang sukar untuk memaafkan kesalahan sesama manusia”.

Maka, diandaikan dosa kita tidak dimaafkan oleh sesama manusia. Bolehkah dibayangkan bagaimana kedudukan dan nasib kita di akhirat kelak? Cuba bayangkan, di saat kita berada di hadapan pengadilan Allah kelak yang pada waktu itu mungkin saja amal dan kejahatan kita begitu seimbang. Tiba-tiba, datang seorang hamba Allah yang pernah kita sakiti dengan lidah kita sewaktu di dunia, memohon pengadilan dari yang Maha Adil pada hari pembalasan. Bagaimanakah agaknya timbangan amal kita nanti setelah terpaksa menyerahkan pahala untuk membuat tebusan?

Renung-renungkan!

No comments:

Post a Comment