Saturday, May 7, 2011

Mahukan Kemaafan Allah? Maafkan Orang Lain

Oleh Shaikh Salman al-Aodah
Seandainya kita mahu Allah memaafkan kita, kita sewajarnya memaafkan orang lain rela melupakan kesalahan-kesalahan mereka. Ini merupakan sebahagian daripada maksud berbuat baik kepada insan lain. Allah menerangkan ciri hamba-hambaNya yang beriman:

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), pada waktu lapang mahupun sempit, orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang melakukan kebaikan. (Ali Imran 3: 134).


Bahkan, Allah berfirman:
وَلَا يَأْتَلِ أُوْلُوا الْفَضْلِ مِنكُمْ وَالسَّعَةِ أَن يُؤْتُوا أُوْلِي الْقُرْبَى وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An Nur 24: 22).

Kesemua amal kebajikan akan menjadikan kita semakin akrab dengan Allah, terutamanya kebaikan yang dilakukan kepada insan lain. Kita sepatutnya melakukan kebaikan kepada semua makhluk sebagaimana dilakukan kepada semua insan. Tidak kira sama ada kebaikan ini datang datang dalam bentuk akhlak yang baik, berkongsi harta, membantu insan lain menggunakan kemampuan dan pengaruh kita, atau mendoakan mereka. Kita perlu memberi keutamaan kepada mereka yang haknya dirampas, balu atau janda, anak yatim dan fakir miskin.


وعنْ أبي هُريرةَ ، رضي اللَّه عَنْهُ ، أنَّ رَسُول اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قَالَ : « كَانَ رجلٌ يُدايِنُ النَّاسَ ، وَكَان يَقُولُ لِفَتَاهُ : إذا أَتَيْتَ مُعْسِراً فَتَجاوزْ عَنْهُ ، لَعلَّ اللَّه أنْ يَتجاوزَ عنَّا فَلقِي اللَّه فَتَجاوَزَ عنْهُ » متفقٌ عَليهِ .
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Terdapat seseorang yang sering memberi hutang. dia akan berkata kepada pembantunya: Maafkan mereka daripada hutang tersebut, boleh jadi Allah akan memaafkan kita. Lelaki itu bertemu Allah (meninggal dunia), Lalu Allah benar-benar Mengampuni dia. [Sahih al-Bukhari (3246) dan Muslim (2930)]

Sifat memaafkan orang lain, bertolak ansur, dan bermurah hati patut menjadi panduan di dalam kita melayani orang lain. Kita hendaklah reka untuk melupakan kesalahan insan lain. Kita juga wajar untuk reka melepaskan hak kita pada masa-masa tertentu. Tidak sepatutnya kita sentiasa menuntut hak kita. Semua perhubungan terbina dengan sifat tolak ansur.

Sifat ini mesti dilakukan kepada sesiapa sahaja yang berinteraksi dengan kita. Itulah cara yang sewajarnya di dalam hubungan antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, guru dan murid, pemerintah dan rakyat. Di dalam setiap hubungan ini, terdapat hak dan kewajipan, dan kita mesti melakukan yang terbaik untuk menunaikannya. Walau bagaimanapun, di dalam setiap perhubungan, kadang kala tetap berlaku kesilapan. Kemaafan dan kesabaran akan membawa keharmonian dan kasih sayang di dalam setiap perhubungan.

Bayangkan sebuah perkahwinan yang terbina hanya di atas dasar hak dan kewajipan? Apakah akan wujud di dalamnya cinta, kasih sayang? Apakah akan wujud dalamnya kelembutan dan percintaan?

Bertoleransi dan bermurah hati, akan mengutuhkan perhubungan dan meninggikan nilai harga diri manusia. Dengan izin Allah, sifat ini akan menjadikan interaksi kita lebih berjaya dan pastinya menjadikan ia lebih diredhai Allah.

Thursday, March 31, 2011

15 Kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak-anak

Dihantar oleh: "zue_zarif"

15 Kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak-anak

kepada yg. berstatus ibu/bapa atau bakal ibu/bapa, pikir-pikirkan lah....

Sumber : Jalinan Keluarga
diubahsuai dari Kuliah Mingguan Surau An-Nur, 10 Jun 1998 oleh Ustaz Khalid Haji Mohd Isa

"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar." (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64:15)

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba- Nya. Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabk an. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda :

"Tahukah engkau siapakah orang yang mandul." Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW berkata : "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia."-(Maksud Al-Hadith )

Ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan dalam mendidik anak-anak.

1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa

1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah

* Saidul (penghulu) Istighfar
* Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 8-9)
* Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 38)
* Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)

1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah

* Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128)
* Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74)
* Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti :

* menakutkan anak-anak dengan sekolah
* menakutkan dengan tempat gelap
* menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau
* menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
* tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak
* terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif

* mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah).
* membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual)

* ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani

6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. :

Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."-( Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas

* ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

Wallahu'alam.

Sunday, August 29, 2010

Aku belayar mencari penawar sepi…


Hati ku terluka kerinduan…
Mencari wajah disebalik mata…
Hati ku kusut kesepian…
Tanpa cinta dari Dia…

Dapatkah aku merindui Mu…
Dalam takbir Al-Quran…
Dapatkah aku mencintai Mu…
Dalam tirai perjalanan…

Telah ku teroka segala Rahsia
Walau mendung menunjuk hampa…
Telah ku menoktahkan dalam lena…
Walau mentari muncul bahagia…

Dapatkah aku memburu Mu…
Dalam segala kepahitan mengundang…
Dapatkah aku melihat Mu…
Dalam segala kekusutan mendatang…

Ke mana harus ku tuju…
Segala rindu mencengkam jiwa…
Ke mana harus ku mengadu…
Segala cinta didalam jiwa…

Dapatkah aku memeluk Mu…
Dalam lena tidur ku…
Dapatkah aku sembah Mu…
Dalam sujud diatas sejadah ku…

Dimana kewujudan diri Mu…
Tunjukkan kepada hamba Mu ini…
Dimana tempat tepat Mu…

Akan ku cari wajah Mu…
Walaupun ku mati dalam penglihatan ini…
Kerana diriMu…

Aku belayar mencari penawar sepi…


Monday, August 16, 2010

Perbanyakkan istighfar...


Assalamualaikum warahmatullah,

Beristighfarlah dan selalulah bertaubat, kerana pada Dia, kita memohon segala-galanya. Itulah pesanan yang kerap diterima dari para ulamak. Jangan meremehkan istighfar. Istighfar mempunyai kekuatan tersendiri. Walaupun perkataan itu kelihatan seperti pengakuan taubat, namun implikasinya terlalu jauh dari itu. Istighfar tidak hanya boleh disebut sewaktu selesai bersolat. Ianya boleh disebut dimana sahaja, pada bila-bila masa.
Istighfar atau taubat antara perkara yang menjamin murah rezeki.

Taubat bermaksud meninggalkan dosa kerana keburukannya dan ia perlu kepada tiga syarat andai berkaitan dengan hak Allah AWT iaitu :
  1. Meninggalkan dosa
  2. Menyesal untuk tidak melakukannya
  3. Berazam untuk tidak melakukannya
  4. Sementara jika berkaitan dengan hak manusia pula, hendaklah memulangkan semula yang empunya hak itu
Taubat bukan sekadar di hati tetapi juga dengan ucapan yang terbit dari lidah. Sayidina Ali umpamanya pernah menyuruh seorang sahabat yang beristighfar agar mengulang semula istighfarnya kerana istighfar itu dilakukan tanpa roh penghayatan. Banyak peringatan Allah SWT mengenai istighfar yang dikaitkan sebagai pintu pembuka rezeki dan lorong beroleh keredaan Allah SWT. Dalam surah Nuh ayat 10~12, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sehingga aku berkata kepada mereka : Pohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat yang mencurah-curah kepada kamu. Dan Dia akan memberi kamu banyak harta kekayaan serta anak-pinak. Dan Dia memberi kamu kebun-kebun tanaman serta mengalirkan sungai-sungai bagi kamu.”

Malahan, ulamak sufi ataupun ulamak tasawwuf menyatakan bahawa dengan beristighfar. Jiwa kita akan lebih dekat dengan Allah. Kita akan sentiasa terpelihara dari segala perbuatan keji dan mungkar. Bila lidah kita sentiasa menyebut istighfar dengan berulang kali, maka hati kita akan sentiasa ‘dihalakan’ untuk mengabdikan diri dan menyucikan jiwa ke arah ‘perhambaan’.

Sebutan istighfar adalah seperti berikut dan membawa maksud seperti, ‘astaghfirullah’, yang bermakna
“Aku memohon keampunan Allah”. Dalam bahasa Inggeris, ianya membawa maksud, “I seek forgiveness from Allah”.

Sebutan istighfar yang lebih lengkap adalah, - ‘astaghfirullah hal aazim, allazi la ila ha illah hual hayyul qayyum, wa‘atu bu ilaik’, yang membawa maksud, “Aku memohon ampun kepada Allah yang tidak ada tuhan selain DIA, yang hidup dan selalu jaga, dan aku bertaubat pada-Mu”.

Selain mata, bahagian atau anggota manusia yang paling mudah dan senang untuk melakukan dosa dan maksiat ialah LIDAH. Lidah mudah saja mencerca, memaki hamun, mengumpat, mengutuk, memfitnah, menjatuhkan maruah, bercakap kotor, dan sebagainya adalah perbuatan maksiat dan mungkar yang berhubung secara langsung antara hati dengan lidah.


Seperkara yang perlu diingat. Andainya kita berdosa secara langsung dengan Allah. Maka hendaklah kita beristighfar dan bertaubat dengan sesungguh-sungguhnya, menyesal dengan perbuatan keji yang kita lakukan. Dan seterusnya ialah perbanyakkan amalan sunat bagi menampung segala kekurangan yang ada.

Namun, andainya kita melakukan kesalahan terhadap sesama manusia, sepertimana perbuatan mengumpat dan segala macam dosa yang dilakukan melalui lidah. Maka, tidak cukup dengan sekadar bertaubat dan beristihgfar memohon keampunan dari Allah, malah adalah menjadi tugas dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan, iaitu memohon maaf dari manusia itu sendiri. Bukan satu jenaka, tapi permohonan maaf kepada manusia yang telah kita umpat dan sebagainya itu wajar dilakukan seberapa segera yang mungkin. Kerana ajal maut tidak kita ketahui, bilakah kehadirannya.

Begitu sukar untuk memohon maaf dari sesama manusia. Kerana, Allah adalah tuhan yang Maha Pengampun, hinggakan ada di kalangan ulama yang secara sinis memberikan ungkapan seperti, “Bukan hendak menyatakan bahawa tidak mengapa jika berdosa dengan tuhan, kerana Allah Maha Pengampun. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah, andainya kita berdosa dengan manusia, hendaklah diketahui bahawa manusia memang sukar untuk memaafkan kesalahan sesama manusia”.

Maka, diandaikan dosa kita tidak dimaafkan oleh sesama manusia. Bolehkah dibayangkan bagaimana kedudukan dan nasib kita di akhirat kelak? Cuba bayangkan, di saat kita berada di hadapan pengadilan Allah kelak yang pada waktu itu mungkin saja amal dan kejahatan kita begitu seimbang. Tiba-tiba, datang seorang hamba Allah yang pernah kita sakiti dengan lidah kita sewaktu di dunia, memohon pengadilan dari yang Maha Adil pada hari pembalasan. Bagaimanakah agaknya timbangan amal kita nanti setelah terpaksa menyerahkan pahala untuk membuat tebusan?

Renung-renungkan!