Monday, December 14, 2009

Bagaimana Mahu Ikhlas



“Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba- Mu yang mukhlis (Ikhlas) di antara mereka.”
(QS, Shaad 38 : 82-83)

“Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma’siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka.”
(QS Al-Hijr, 15 : 39-40)

Mengapa iblis tidak dapat menyesatkan orang-orang yang ikhlas? Kerana ketika kita ikhlas kerana Allah S.W.T, kita berserah apa sahaja kepada Allah S.W.T. Ketika itu kita tidak lagi berada di wilayah kekuatan kita tetapi di wilayah kekuatan dan kekuasaan Allah S.W.T. Kita mengikut dengan jiwa yang berserah kehendak Allah S.W.T. Mana mungkin iblis atau syaitan dapat menandingi kekuatan Allah S.W.T.

***

Orang yang ikhlas tidak memikirkan ikhlas atau tidak tetapi memikirkan tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah S.W.T itu telah dilaksanakan dengan baik atau belum. Itulah ikhlas dan ia hadir tanpa perlu difikirkan.

Tidak penting samada orang lain ikhlas atau tidak tetapi yang sangat penting adalah diri kita sendiri ikhlas atau tidak. Mari kita fahamkan tentang ikhlas dengan mengambil contoh kehidupan saya.

Jika saya bekerja kerana ingin mencari wang, maka saya bekerja ikhlas kerana wang.

Jika saya bekerja kerana ingin menyara anak-anak dan isteri saya, maka saya bekerja ikhlas kerana anak-anak dan isteri saya.

Ikhlas mesti mempunyai sandaran untuk apa saya melakukan sesuatu hal itu. Jika sandarannya wang, maka kita dikatakan ikhlas kerana wang kerana wang membuatkan kita melakukan kerja. Begitu juga dengan yang lain.

Persoalannya kini, apakah kita inginkan ikhlas yang sedemikian? Tidak! Kita tidak mahu kerana ikhlas yang sedemikian mempunyai tahap yang rendah. Lalu ikhlas yang bagaimana berada di tahap yang tinggi yang dikatakan oleh iblis sehingga tidak mampu menyesatkan kita?

Pastinya ikhlas KERANA ALLAH S.W.T. Apabila kita ikhlas kerana Allah S.W.T, pasti kita melakukan semua kerja kita kerana Allah S.W.T. Apabila kita ikhlas kerana Allah S.W.T, pasti ikhlas kita merangkumi semua termasuk kerana wang, anak-anak dan isteri, syarikat kita bekerja dan seluruhnya.

Nah! di sini terdapat satu lagi persoalan iaitu bagaimana melahirkan jiwa yang ikhlas? Apakah ia boleh dibuat-buat atau boleh diwujudkan?

***

Ikhlas tidak mampu dibuat-buat tetapi dapat diwujudkan dengan kesedaran.

Bagaimana membina kesedaran agar jiwa kita ikhlas?

Kembali kepada contoh kehidupan diri saya dan kemudian saudara aturkanlah contoh tersebut untuk kehidupan saudara.

Saya perlu SEDAR sepenuhnya tanggungjawab saya sebagai wakil Allah (khalifah) di muka bumi ini. Saya dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai lelaki dan kini saya memiliki pelbagai tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. ke atas saya sebagai lelaki, suami, pekerja dan sebagainya.

Sebagai suami dan ayah, saya diberi tanggungjawab memastikan keluarga saya dilindungi, selamat, bahagia, cukup makan minum, tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya. Saya SEDAR tanggungjawab ini adalah tanggungjawab yang Allah S.W.T. tetapkan sebagai seorang suami.

Sebagai suami dan ayah saya perlu mencari rezeki lalu saya bekerja. Bekerjanya saya ini adalah kerana tanggungjawab saya terhadap Allah S.W.T. Ini adalah ketetapan yang Allah S.W.T. tentukan ke atas seorang suami iaitu wajib mencari nafkah untuk keluarganya.

Dengan KESEDARAN segala kerja yang saya lakukan adalah kerana saya ingin mencari nafkah dan ia merupakan tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. pasti saya akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ini bukan satu paksaan tetapi kerana kesedaran saya ke atas tanggungjawab saya.

Maka dengan kesedaran inilah saya melaksanakan tanggugjawab saya kerana Allah S.W.T. Tanpa disedari, saya melakukannya kerana Allah S.W.T. ikhlas kerana Allah S.W.T.

Begitu juga semasa bekerja. Tugas yang diberikan kepada saya ketika bekerja merupakan amanah dan tanggungjawab saya kepada Allah S.W.T.

Saya perlu menyedari bahawa semua ini adalah tanggungjawab yang Allah S.W.T.tentukan kepada saya. Lalu saya perlu melaksanakan semua tanggungjawab ini kerana saya ini adalah wakil Allah S.W.T. Saya perlu mengikut kehendak Allah S.W.T.,kerana saya wakilNya.

Kesedaran tanggungjawab kita kepada Allah S.W.T. memastikan kita akan melaksanakan segala tanggungjawab kita kerana Allah S.W.T. INILAH IKHLAS.

Orang yang dekat dengan Allah S.W.T. memiliki kesedaran tertinggi akan hal Allah S.W.T. Mereka tidak pernah rasa kecewa di dalam melaksanakan tanggungjawab kerana Allah S.W.T.

***

Apabila kita memiliki kesedaran tertinggi, kita akan melaksanakan tanggungjawab kita kerana Allah S.W.T. Kita tidak melakukannya kerana pangkat dan wang namun pangkat dan wang merupakan keperluan. Ia membantu kita di dalam urusan menjadi wakil Allah S.W.T. iaitu khalifah di muka bumi ini.

Kita tidak salah dan tidak dilarang sama sekali untuk memiliki wang yang banyak, pangkat yang besar, rumah yang besar dan segala kekayaan yang ada. Namun kita juga diperintahkan agar berkongsi kekayaan tersebut dengan zakat, bersedekah dan sebagainya seperti yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Setiap kerja kita diminta untuk dimulakan dengan “Dengan nama Allah S.W.T yang Maha Pengasih/pemurah dan Penyayang” menunjukkan bahawa kita melakukan kerja atas nama Allah S.W.T.

Kita di minta oleh Allah S.W.T mengakui bahawa tiada tuhan selain Allah S.W.T. dan Nabi Muhammad S.A.W Rasul Allah S.W.T. setiap kali kita bersolat untuk mengulangi semula persaksian kita pada Allah S.W.T.

Dengan kesedaran yang tinggi di atas tanggungjawab kita sebagai wakil Allah S.W.T. dalam setiap hal kecil atau besar walaupun menyampai sedikit ilmu pun, maka ia adalah kehendak Allah S.W.T. dan kita wakil Allah S.W.T. hanya berserah untuk melakukannya. Allah mengkehendaki kita menyampaikan ilmu yang kecil itu ketika itu lalu kita sampaikan dengan penuh tanggungjawab sebagai wakil Allah S.W.T. yang memiliki ilmu tersebut.

***

Tingkatkan kesedaran kita, pasti kita akan ikhlas di dalam melakukan kerja. Orang yang ikhlas tidak memikirkan ikhlas atau tidak tetapi memikirkan tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah S.W.T itu telah dilaksanakan dengan baik atau belum. Itulah ikhlas dan ia hadir tanpa perlu difikirkan.

Thursday, December 3, 2009

Muhasabah Diri - Mengumpat & Fitnah

Mengumpat & Fitnah


Allah SWT mencela orang yang mengumpat bagaikan memakan bangkai:
Janganlah setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkai)?

(Quran surah al-Hujurat, ayat 12)


RasulAllah SAW bersabda;

Setiap muslim haram darah, harta dan harga dirinya atas muslim yang lain.


Baginda SAW juga bersabda;

Takutlah mengumpat. Ia lebih buruk daripada zina. Lelaki berzina lalu bertaubat, maka Allah menerima taubatnya. Sedangkan Allah SWT tidak mengampuni orang yang mengumpat sebelum orang yang diumpatnya memaafkannya.


Mereka berkata, “Orang yang mengumpat manusia ibarat melepaskan peluru kekanan dan kekiri. Seperti itu dia melemparkan akan kebaikannya (hilanglah segala kebaikannya) .

Telah bersabda RasulAllah SAW yang maksudnya;

Sesiapa yang mengumpat, bermaksud menghinakan saudaranya, Allah SWT meletakkannya dijambatan neraka pada hari kiamat. Hingga bebas dari apa yang dikatakannya.


Juga Baginda SAW bersabda yang maksudnya;

Mengumpat itu menuturkan keburukan kepada saudaramu samada badan, nasab, perbuatan, ucapan, agama, dunia, bahkan baju, selendang atau tunggangannya.

Hingga sesetengah orang yang terdahulu berkata, “Jika kau katakan pakaian; Pakaian sifulan kebesaran atau kekecilan (pakaiannya kecil atau besar), itupun termasuk mengumpat. Apa lagi jika kau sebut sesuatu yang menyakitkannya”.

Dirawikan bahawa seorang perempuan yang pendek telah datang kepada RasulAllah SAW untuk sesuatu keperluan. Setelah dia beredar, Aisyah r.ha berkata, “Wah, pendeknya dia!” Segera RasulAllah SAW berkata, “Engkau telah mengumpat wahai Aisyah!” Telah bersabda RasulAllah SAW;

Jangan kalian mengumpat. Didalamnya terdapat tiga keburukan; Doanya tidak dimakbulkan, kebaikannya tidak diterima, dan akan ditimpakan kepadanya keburukan orang yang diumpat.


Baginda RasulAllah SAW bersabda dalam mencela tukang fitnah;

Manusia terburuk dihari kiamat ialah bermuka dua. Iaitu tukang fitnah. Dia datang pada mereka dengan suatu muka, dan datang pada yang lain dengan muka yang lain pula. Sesiapa yang bermuka dua didunia, (maka) dihari kiamat (dia akan) berlidah dua dari api.


Diceritakan dari Amr bin Dinar, dia berkata, “Seorang lelaki Madinah ada saudara perempuan disuatu kampung sedang sakit. Lelaki itu menziarahi dan menunggunya sampai meninggal dunia. Dia mengucapkan takziah dan menghantarnya sampai kekubur. Setelah selesai, dia kembali kepada keluarganya. Kemudian dia teringat akan dompetnya tertinggal dalam kubur. Dia meminta tolong dari temannya. Temannya itu bersegera berangkat menggali kubur dan menemukan dompetnya. Lelaki itu tadi berkata, “Bagaimana keadaan saudaraku?” Lalu temannya itu membuka sebahagian lubang. Tiba-tiba api menyala-nyala. Segera lelaki itu kembali kepada ibunya dan bertanya, “Ceritakan padaku apa cela saudaraku?” Ibunya berkata, “Saudaramu suka pergi kerumah jiran menceritakan keburukan orang untuk menyebarkan fitnah”. Jelaslah bahawa hal itulah yang menyebabkan akan seksa kubur. Siapa ingin selamat, hendaklah tinggalkan mengumpat dan memfitnah”.

Abu Hafsh al-Kabir berkata, “Aku tidak berpuasa Ramadhan lebih kusukai daripada daku mengumpat orang”, lalu dia berkata, “Sesiapa yang mengumpat seorang faqih, dihari kiamat dia datang dan tertulis dimukanya – Orang ini terputus daripada rahmat Allah”.

Telah berkata Ka’ab ra., “Kubaca sebahagian kitab – Barangsiapa yang mati bertaubat dari mengumpat, (maka) dia orang terakhir yang akan masuk syurga. Barangsiapa yang mati (dalam keadaan) membiasakan mengumpat, (maka) dia orang yang pertama masuk neraka”. Allah SWT berfirman;

Celakalah untuk tiap-tiap orang pengumpat dan pencela.

(Quran Surah Al-Humazah, ayat 1)


Wajiblah bagi orang yang mengumpat menyesal dan bertaubat agar keluar dari hak Allah. Kemudian meminta halal atas kezalimannya terhadap orang yang diumpat. Telah bersabda RasulAllah SAW;

Sesiapa yang mengumpat saudara muslimnya, Allah SWT akan memindahkan muka keduburnya pada hari kiamat.

Wednesday, December 2, 2009

Mengumpat,dengki dan sombong



Mengumpat adalah perbuatan yang tercemar, semua manusia ada celanya. Seperti
diri kita sendiri tidak suka diumpat dibelakang. Peliharalah lidah dari membicara
keaiban orang lain samada dikenali atau tidak. Juga jauhi perkara yang sebangsa
dengannya iaitu menfitnah, membusukan orang lain. Jangan mengotori diri dengan
perbuatan begini. Dan usalah merasa iri hati terhadap teman yang mendapat kurnia
dari ALLAH yang telah dilimpahkan ALLAH terhadapnya.

Tidak ada faedah terhadap diri kita, apa yang dapat hanya terasa jiwa yang resah,
hati dibaluti selimut kekotoran. Merupakan lambang betapa jeleknya seseorang itu.
Kenikmatan orang lain tidak akan berpindah pada kepada kita. Kedengkian itu dapat
merosakkan iman, bagaikan badam merosak madu. Begitu juga dengan bersikap
sombong selalu menyakiti orang yang paling dicintai iaitu diri sendiri.

Firman ALLAH yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan
(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu
mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka
sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang
tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat,
lagi Maha mengasihani.- Al-Hujurat:12

Sunday, November 8, 2009

KENAPA MAKANAN ROH TIDAK BERFUNGSI

Dalam bab yang lalu kita dapati roh (hati) jadi rosak (jahat) disebabkan
oleh pemakanannya. Sama ada berpunca dari makanan yang tidak baik atau
tersalah pilih makanan yang tidak bersih atau makanan roh itu terdedah
kepada maksiat dan mungkar. Kesannya, roh yang jahat akan mendorong
anggota-anggota lahir turut menjadi jahat.

Ada golongan yang berkata, "Saya sudah sembahyang, puasa, zikir,
selawat, baca Quran, berkorban, berjihad, berdakwah dan buat lain-lain
kebaikan tetapi hati tetap tidak terhibur atau jiwa masih tidak
tenang."

Dalam maksud yang lain, hati itu tetap juga sakit atau masih
berpenyakit. Yakni hati masih lagi bersifat pemarah, tidak sabar, hasad,
dendam, mengumpat, bakhil, tidak ada kasih sayang dan lain-lain lagi.
Kenapa jadi begitu? Bagaimana pula untuk mengatasinya?

Untuk menjawab persoalan ini saya jawab begini: Kiaskan pemakanan roh
sama dengan pemakanan jasad lahir kita. Kalau jasad lahir kita sudah
diberikan dengan makanan yang baik dan berzat, tetapi tidak juga badan
itu sihat. Ertinya, kena kaji juga bagaimana makanan itu disajikan.
Apakah kerana cara memasak itu tidak betul? Adakah kerana makanan itu
belum sempat masak, kita sudah memakannya. Adakah makanan itu terdedah
dengan pencemaran? Adakah makanan tersebut sudah tercampur racun atau
sudah basi? Adakah kita makan terlalu banyak atau mungkin makanan yang
merosakkan badan juga turut kita makan?

Katakanlah makanan yang baik dan berzat itu ialah nasi, daging, ikan,
sayur, susu dan lain-lain lagi. Kalau dimasak nasi dengan cara yang
tidak betul seperti terlalu kuat apinya hinggakan nasi menjadi hangit,
maka akan hilanglah zat karbohidratnya. Ikan yang segar dan mempunyai
protin, kalau belum sempat masak, kita sudah memakannya, tentulah tidak
sedap rasanya kerana ia masih mentah. Begitu juga dengan sayur-sayuran
hijau yang banyak mengandungi vitamin C, kalau dimakan tanpa dibasuh
dengan bersih, tentu ia akan terdedah kepada kuman penyakit atau beracun
(racun serangga). Susu yang mempunyai zat lemak, kalau disajikan setelah
susu itu basi, ia bukan lagi memberi kesihatan pada badan, bahkan akan
memudaratkannya. Apatah lagi kalau makanan yang berzat itu disertai
dengan racun atau keracunan, tentu racun itulah yang akan menguasai
seluruh badan, merosak dan menyakitkan badan.

Adapun teknik atau cara atau kaedah menyajikan makanan itu pun mesti
kita faham betul-betul. Barulah makanan yang baik dan berzat itu jadi
begitu sedap dan menyelerakan. Kalau salah cara memasaknya akan tinggal
hampas-hampas sahaja. Tidak ada zatnya lagi. Walhal makanan itu asalnya
baik, bermutu tinggi, penuh dengan zat tetapi hasilnya tetap sama sahaja
dengan orang yang makan makanan tidak baik atau tidak berzat atau orang
yang makan makanan beracun. Ertinya, tetaplah makanan itu tidak dapat
menyuburkan badan. Bahkan badan tidak sihat dan mudah diserang dengan
penyakit serta selalu saja sakit.

Begitu juga dengan roh. Makanan roh yang baik ialah sembahyang, puasa,
zikir, selawat, baca Al Quran, berkorban, berjihad, berdakwah, belajar,
berkhidmat kepada masyarakat dan lain-lain kebaikan lagi. Walaupun
makanan roh yang baik seperti di atas itu sudah dilakukan, ia tetap
tidak mendatangkan ketenangan kerana ia mungkin dilakukan dengan cara
yang tidak sempurna dan tidak tepat dengan ilmunya. Atau dilakukan
dengan cara yang tidak ikhlas atau tidak dihayati dengan jiwanya.
Tentulah ibadah-ibadah tersebut tidak akan memberi kesan kepada jiwa dan
fikiran. Jadi, kalau sudah tidak memberi kesan kepada jiwa dan fikiran,
tentulah ia juga tidak akan memberi kesan kepada tindakan anggota lahir.
Yakni anggota lahir tetap juga jahat. Contoh-contohnya:

1. Sembahyang tetapi tidak menghayatinya, lalai dan berkhayal sewaktu
menunaikannya. Sembahyang begini tidak akan memberi kesan apa-apa pada
hati dan fikiran. Bila tidak berkesan pada hati dan fikiran, tentulah ia
juga tidak akan berkesan pada anggota lahir.

2. Rajin baca Al Quran tetapi tidak melaksanakan tuntutan tuntutan dari
ayat-ayat yang dibaca itu, tentulah tidak akan memberi kesan apa-apa
kepada hati dan fikiran. Ia tentunya tidak berkesan juga pada anggota
lahir.

3. Selawat, zikir, berjuang, berjihad dan berdakwah tetapi tidak dari
hati. Hanya ucapan di lidah sahaja. Tentulah tidak berkesan apa-apa
kepada hati dan fikiran. Bila tidak berkesan pada hati dan fikiran,
tentulah ia juga tidak berkesan apa-apa pada anggota lahir.

4. Berkorban, bersedekah, lain-lain kebaikan dan kebajikan juga, kalau
tersalah cara, tidak tepat dengan ilmunya, tidak dibuat dengan sempurna,
bukan kerana Allah, tidak pada tempatnya atau tidak dihayati, maka
kesannya tidak akan sampai ke hati dan fikiran. Apabila tidak berkesan
di hati dan fikiran, tentulah tidak berkesan juga kepada anggota lahir.

Adapun semua makanan roh yang baik ini walaupun asalnya baik tetapi oleh
kerana tidak faham cara, tidak tepat dengan ilmunya, tidak dibuat dengan
sempurna, tidak dihayati di hati atau membuat perkara itu tetapi tidak
disertai dengan mujahadatun nafsi, maka hasilnya tetap sama dengan orang
yang tidak melakukannya. Yakni tidak dapat memberi kekuatan kepada roh
(jiwa atau hati).

Kalau begitu roh tetap tidak sihat, lemah jiwa, mudah diserang penyakit
hati seperti hasad dengki, sombong, riyak, pemarah, bakhil, dendam dan
lain-lain mazmumah lagi. Penyakit-penyakit mazmumah (keji) tetap juga
tidak terubat. Sebab itu hati tidak tenang, gelisah dan keluh-kesah.

Roh atau hati juga boleh jadi rosak (jahat) kalau kita campurkan antara
membuat perkara yang baik dengan membuat perkara-perkara yang jahat.
Walaupun perkara-perkara yang baik itu dibuat tetapi dalam masa yang
sama masih melanggar pantang-larang syariat seperti bergaul bebas lelaki
dan perempuan, mendedahkan aurat, makan makanan yang haram dan subahat,
suka mengumpat, memfitnah orang, gila dunia, gila pangkat dan gila puji,
maka tentulah makanan roh yang baik tadi tidak akan memberi kesan.

Kiasannya, macam memakan makanan yang berzat dicampur dengan racun. Kita
tentu dapat mengagak apa yang akan terjadi. Tentulah bukan makanan yang
berzat yang berperanan tetapi racun itulah yang kuat menjalar cepat dan
aktif dalam badan. Akhirnya, merosakkan seluruh urat saraf dan saluran
darah serta daging. Badan akan rosak dan sakit-sakit dengan parahnya.

Begitulah juga kalau makanan roh yang baik dicampur dengan makanan roh
yang tidak baik. Tentulah makanan roh yang tidak baik itu yang lebih
berperanan. Jadi kalau yang hak dan yang batil sama-sama dilakukan, maka
yang batil itulah yang akan lebih memberi kesan pada akal, hati serta
tindakan lahir.

Oleh kerana itulah Allah berpesan dalam firman-Nya:

Maksudnya: "Apakah kamu percaya dengan setengah dari kitab dan
ingkar dengan sebahagiannya. Tidak ada balasan orang yang melakukan
demikian melainkan hina hidup di dunia." (Al Baqarah: 85)

Ertinya, kalau perintah suruh Allah (yang hak) dan larangan Allah (yang
batil) dibuat serentak samalah dengan orang yang percaya dengan
sebahagian dari kitab dan ingkar dengan sebahagian lainnya. Jadi untuk
golongan ini, hukuman yang setimpal di atas kedegilan mereka ini ialah
Allah hinakan hidup mereka di dunia lagi.

Terhinanya hidup mereka ini berpunca dari sifat-sifat mazmumah yang
masih bersarang dalam diri mereka itu seperti sifat pemarah, ujub,
sum`ah, sombong, keras hati, tamak, hasad, dengki, mengumpat,
bakhil, gila dunia, gila pangkat, gila puji dan lain-lain mazmumah lagi.

Sifat-sifat jahat (penyakit-penyakit jiwa) inilah yang menjadikan jiwa
tidak tenang, gelisah, keluh-kesah dan tidak bahagia serta boleh
merosakkan orang lain dan masyarakat. Tetapi manusia kebanyakannya tidak
sedar bahawa sifat-sifat mazmumah yang wujud dalam diri mereka itulah
yang menjadi punca tidak adanya ketenangan dan kebahagiaan sekalipun dia
seorang raja, pemerintah negara, ulama, pemimpin, orang kaya dan
sebagainya. Kerana itulah Allah melarang dalam firman-Nya:

Maksudnya: "Jangan kamu campurkan yang hak dan yang batil." (Al
Baqarah: 42)

Ertinya, dalam kita berbuat baik, jangan dicampur dengan perbuatan yang
jahat atau perintah suruh dibuat, perintah larang juga dilaksanakan.

Kesimpulannya, bila membuat atau melakukan yang baik dan yang jahat
sekaligus, yang jahat itulah yang akan lebih berpengaruh dan berkesan
dalam kehidupan. Akibatnya, kebaikan itu tidak akan jadi apa-apa atau
sia-sia sahaja sebab sudah dirosakkan oleh perbuatan yang jahat itu.