Saturday, July 18, 2009

Cerita keburukan orang

Ghibah (Mengumpat)
Apakah ghibah atau mengumpat ? Iaitu mengucapkan perkataan (atau dengan gerak badan, mata, tulisan dsbnya) sesuatu yang tidak
disukai pada diri orang lain. Tidak kira samada yang tidak disenangi itu ada pada tubuh badannya, gerak lakunya, agamanya dan sebagainya.

Menurut al-Ghazali, definasi ini adalah yang telah diijma'kan oleh kaum muslimin (tiada seorangpun membangkang) . Maksudnya, mereka bersepakat mengatakan bahawa inilah dia definasi ghibah. Ghibah, dalam bahasa Melayu kita disebut mengumpat. Iaitu menceritakan keburukkan orang lain di belakangnya.


Hukum Ghibah (Mengumpat)
Umat Islam seluruhnya juga telah ijma' mengatakan bahawa hukum ghibah adalah haram. Sebahagian dalilnya ada termaktub pada ayat al-Quran dan hadis di atas. Dan terdapat di dalam sebuah hadis di mana Rasulullah s.a.w. mengatakan bahawa orang yang mengutuk orang Islam yang lain sebagai fasik (lihat min fathil mubtadi bi syarhi muhktasar al-zabidi).

Dan siksaannya amat berat sekali, kerana ia adalah termasuk antara dosa-dosa besar. Dalam sebuah hadis ada menceritakan bagaimana dua orang ahli kubur sedang disiksa. Yang seorang gemar menyampaikan aib orang dan yang seorang lagi tidak bersuci dengan sempurna selepas kencing (lihat hadis berkenaan riwayat Bukhari).

Namimah pula ialah mengadu domba. Iaitu menyampaikan perkataan orang lain untuk membuatkan kedua-dua belah pihak berkelahi.

Jadi, apabila hukum ghibah dan namimah itu haram, maka menasihati orang yang melakukan ghibah adalah wajib. Jika tidak berdaya hendaklah beredar dari majlis berkenaan. Jika tidak berdaya juga, hendaklah engkar di dalam hati.

Ghibah(mengumpat) diperbolehkan
Hukum ghibah adalah haram. Ini adalah hukum asal. Atas alasan-alasan syarak ia diperbolehkan. Apakah alasan syarak itu. Iaitu mahu mencapai satu-satu tujuan yang benar menurut pertimbangan syarak, di mana jika tidak melalui cara itu tujuan itu tak mungkin akan tercapai. Walaubagaimanapun, jika ada cara lain seboleh-bolehnya gunakan cara berkenaan. Elakkan ghibah


Untuk membela diri. Adalah dibenarkan jika:
a) atas tujuan yang dibenarkan oleh syarak
b) Jika tiada jalan lain melainkan dengan membuka aib orang lain.
Contohnya, saudara telah dituduh mencuri, sedangkan saudara tahu siapa yang mencuri. Saudara terpaksa mempertahankan diri dengan berkata benar. Ini biasa berlaku di mahkamah. Mahkamah terpaksa membuka aib mereka yang terbabit untuk tujuan yang dibenarkan oleh syarak, iaitu membuktikan benar atau salahnya orang yang dituduh (mencari penjenayah).

Di bawah ini saya senaraikan enam tempat yang dibenarkan ghibah. Saudara boleh timbangkan dengan masalah yang saudara hadapi:

Pertama: Mahu mengadu kepada qadhi, polis, imam, ketua kampung dsbnya kerana teraniaya. Ketika mengadu tidak boleh tidak kita terpaksa membuka kezaliman yang telah dilakukan terhadap kita. Dengan membuka keburukan orang berkenaan, barulah pengadilan dapat dilaksanakan.

Kedua: Mahu mencegah kemunkaran dan kemaksiatan yang berlaku. Keburukan pelaku maksiat itu boleh diceritakan kepada seseorang yang dapat diharapkan boleh menghindarkan kemungkaran itu. Seperti saudara melihat sebahagian anak-anak muda di kawasan saudara membawa perempuan ajnabi balik ke rumahnya (berkhalwat) . Saudara hendaklah mencari seseorang yang boleh diharapkan dapat menghalang perkara berkenaan. Saudara dibenarkan menceritakan perihal anak-anak muda itu kepadanya.

Ketiga: Meminta fatwa dari alim-ulamak. Contohnya dalam masalah rumahtangga, jika si suami melakukan sesuatu yang tidak baik kepada isterinya (contoh: tidak beri nafkah), dia boleh mengadu hal kepada ulamak/mufti meminta fatwa. "Suami saya tidak memberi saya nafkah selama sekian lama. Apa hukumnya dia melakukan demikian. Apakah yang harus saya lakukan?"

Keempat: Memberi peringatan (agar berhati-hati) dan nasihat kepada kaum muslimin tentang kejahatan seseorang. Bahkan jika dapat memberi mudarat kepada seseorang, wajib kita jelaskan keburukkannya. Contoh, apabila seseorang datang kepada saudara meminta nasihat tentang perkahwinan anak perempuannya. Apakah wajar dikahwinkan dengan si fulan? Sedangkan saudara tahu bahawa si fulan itu adalah seorang yang buruk akhlaknya dan bejat agamanya. Jika memadai dengan kata 'JANGAN', hendaklah saudara mengatakan begitu sahaja. Jika dirasakan tidak cukup, wajiblah saudara membuka aibnya.

Kelima: Mencela orang yang secara terang-terangan melakukan kefasikkan, bid'ah dan kezaliman. Contoh, seorang yang secara terang-terangan meminum arak, atau berjudi, atau melaksanakan projek-projek batil. Yang dibenarkan hanyalah menyebutkan kemaksiatan yang dilakukan secara terang-terangan itu sahaja. Dan diharamkan menyebutkan aib-aib lain.

Keenam: Untuk mengenalkan seseorang. Jika seseorang itu memang dikenali dengan julukkan si tempang, si buta dan sebagainya, boleh saudara menyebutkan jolokkan itu dengan niat mengenalkan. Haram jika dengan niat mencemuh. Walaubagaimanapun selagi boleh mengelakkan menyebut julukkan itu, elakkan..

Dalil:
Firman Allah Taala:
"Allah tidak suka kepada perkataan yang tidak baik diperdengarkan, kecuali dari orang-orang yang teraniaya..." (al-Nisaa', ayat 148)

Hadis:
"Aisyah r.a. berkata: Seseorang datang minta izin kepada nabi s.a.w. (masuk ke rumah). Lalu nabi s.a.w. bersabda: Izinkanlah. Dia adalah sejahat-jahat orang di kalangan kaumnya." (riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis:
"Aisyah r.a. berkata: Hindun binti Uthbah (isteri Abu Sufian) berkata kepada nabi s.a.w.: Sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut dan tidak memberi cukup belanja kepada ku dan anak-anakku, kecuali kalau saya ambil di luar pengetahuannya. Nabi s.a.w. menjawab: Ambillah secukupmu dan ank-anakmu dengan sederhana." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis:
"Fatimah binti Qais berkata: Saya datang kepada Nabi s.a.w. bertanya tentang dua orang yang meminang saya, iaitu Abu Jahm dan Muawiyah. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Adapun Muawiyah, dia adalah seorang yang miskin, manakala Abu Jahm, dia adalah seorang yang suka memukul isteri." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. ada menceritakan keburukkan orang lain untuk mencapai maksud yang dibenarkan oleh syarak. Dan tiada pilihan lain melainkan memberitahu aib orang berkenaan.
Wallahu'alam..

Saturday, June 13, 2009

BERHATI-HATI MENJAGA HATI


الا وان في الجسد مضغة اذا صلحت صلح الجسد كله واذا فسدت فسد الجسد كله الا وهى القلب
" Sesungguhnya didalam jasad manusia ada seketul daging, seandainya ia baik maka baiklah anggota badannya, seandainya ia rosak maka rosaklah anggota badannya, ketahuilah! ianya hati "( HR:Bukhari &Muslim )

Sepertimana penyakit zahir yang menyerang tubuh badan kita yang berpunca dari bakteria, kuman dan virus secara perlahan dan berperingkat yang mampu menjadi kronik dan akhirnya menjadi asbab kepada kematian.

Maka begitu jugalah dengan hati kita yang sentiasa diserang virus, bakteria dan kuman dosa yang mampu menjadi tenat secara beransur-ansur dalam berbagai peringkat sehinggalah mematikan hati kita.

Peringkat kuman dosa yang merosakkan hati :

1) Merasa bersalah bila berbuat dosa
Pertama kali melakukan dosa, hati rasa menyesal, bersalah dan resah, kerana perbuatan jahat adalah sesuatu yang berlawanan dengan fitrah kejadian manusia yang tercipta dalam kesucian.

2) Merasa biasa bila berbuat dosa
Namun rasa berdosa tidak bertahan lama apabila dosa diulang-ulang. Rasa berdosa akan hilang sedikit demi sedikit dan hati sudah terbiasa dengan kehadiran dosa. dulu, bila berdosa temannya airmata tapi sekarang alah bisa tegal biasa. Hati rela dan tega dalam dosa.

3) Merasa seronok bila berbuat dosa
Dosa itu kuman disalut keindahan. Sesudah hati terbiasa dengan dosa maka timbul rasa seronok melakukannya. Rasa ketagih, gian, kemaruk mengulangi dosa. Dosa sudah bertukar dari racun menjadi nikmat. Dosa kini sudah bertakhta didalam dada.

4) Menjadi pembela kepada Dosa
Inilah nafsu yang tak pernah puas, begitu juga syaitan yang berjuang menghasut manusia tanpa kendur dan mundur. Dari rasa berdosa, kemudian biasa dengan dosa, kemudian seronok berbuat dosa dan akhirnya menjadi pejuang dan pembela dosa. Mereka sudah ditahap kritikal kerana mereka mempromosi, menjadi duta kepada dosa. Jika ada ahli agama menegur, maka mereka sedia bangun mempertahankan serta membela perlakuan dosa mereka.

" Hati semakin sakit, semakin keras, menjadi buta, menjadi barah membawa virus munafiq, syirik dan kafir dan akhirnya hati mati "

" Oleh itu hendaklah kita berhati-hati menjaga hati "

Firman Allah : Al-Isra' ayat ; 72

ومن كان في هذه أعمى فهو فى الأخراة أعمى واضل سبيلا
" Dan sesiapa didunia ini buta hatinya, maka diakhirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya "

By ustaz Amran

Makan babi dah sah haram..tapi..rezeki halal jadi haram?..apa tu??

Dalam memperkatakan persoalan halal dan haram tak seorang pun memperkatakan persoalan punca rezeki yang menjadikan sesuatu itu haram kan?makan unsur -unsur babi memang dah sah-sahkan haram..tapi tak terfikirkah kita bagaiman punca rezeki yg halal itu menjadikan haram...Cuba sama-sama kita muhasabah diri...:

1.Keje macam tak kerja-datang kerja tapi tak wat kerje..gaji setiap minit dikira..tapi tak wat keje..habis tu gaji yg dapat tu kira macam mana yer?bagi anak isteri makan..benda yang tak sepatutnya kita dapat..dalam erti kata lain (hak orang)..apeee tu.

2.Keje tapi buat keje lain-Datang keje tapi wat kerja lain dalam masa kerje..senang kate 2 in 1..terkejar sana ..terkejar sini...kerja yang dibayar kat pejabat buat tak nampak jer..sibuk kejar kerja sambilan dalam masa kerja ...apeee tu...jadi apa rezeki kita tu????

3.Pergi keje tapi tak buat keje-Datang keje ..tapi tak nak buat keje...serahkan bulat kerja sepatutnya dibuat kat orang lain...padahal kejer tu kerja dia...gaji dapat tapi tak berkat..kerja bagi kat orang tapi gaji dapat...fikirkanlah ...kekadang kita terlepas pandang...

4.Punch card ada tapi jasad tak ade-kat punch card tiap2 pagi..balik pun ade..punch suruh orang punch...jasad tak wujud kat opis..apee tu...gaji sentisa berbayar..setiap hari..tak takut ker makan rezeki mcm ni bg kat anak bini.....

5.Duduk depan pc tapi tak wat keje..surve internet berjam-jam-Satu kerja pun tak buat tapi gaji berbayar..hahaha fikirkanlah. ..

6.Menggunakan harta orang lain tuk kepentingan sendiri-Menggunakan harta orang lain tuk kepentingan diri sendiri..setiap urusan yang dilakukan mesti mintak balasan (rasuah)..dalam erti kate lain duit minum...tak takut ker anda buat macam tu...fikirkan lah...benda2 ni jadi darah daging...kekadang orang terpaksa...

7.Menuntut berlebihan daripada yang dapat-Menikmati rezeki yang bukan kita punya adalah satu penindasan dan ketidakadilan. .

Fikir-fikirkan dan muhasabah lah diri...Bukan makan makanan haram jer leh jadi haram..tapi benda halal pun leh jadi haram...kita hidup kejap jer kat dunia ni selebihnya kat akhirat...mungkin kat dunia kita lepas tapi kat akhirat?..

Tawakal ibadah hati paling utama mengharapkan sesuatu

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

HIDUP tidak sunyi daripada berdepan masalah. Yang membezakannya hanya jenis masalah itu tidak sama antara seorang dengan seorang. Seseorang itu mungkin berdepan masalah besar menentukan hidup atau mati perniagaannya pada masa depan, manakala yang lain hanya sekadar mendapatkan rumah untuk dibeli.

Apa juga keadaan, mereka perlu mencari jalan menyelesaikannya. Masalah tidak akan selesai jika hanya berdiam diri berpeluk tubuh. Kejayaan atau kegagalan bergantung sejauh mana usaha dilakukan.

Selepas puas berusaha keras dengan pelbagai cara dan kaedah untuk menyelesaikan masalah, mereka boleh berserah kepada Allah iaitu bertawakal kepada Allah.

Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung. Seorang ulama menyatakan tawakal ialah percaya kepada Allah dan hanya kepada Dialah kita mengharapkan segala sesuatu, bukan kepada siapa pun.

Imam al-Ghazali menyatakan tawakal satu manzilah (keberadaan) bagi orang beriman, bahkan tawakal darjat muqarrabin atau orang yang dekat dengan Allah.

Ali al Qari pula menyebut tawakal adalah mengetahui dan yakin tidak ada yang mampu berbuat dalam alam ini kecuali atas kehendak Allah.

Abu Ali Ad-Daqqaq berkata, tawakal itu ada tiga tingkatan. Tawakal itu sendiri, kata Abu Ali Ad-Daqqaq: “Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah, orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan.”

Kata Abu Ali Ad-Daqqaq lagi: “Tawakal sifat orang mukmin, berserah diri adalah sifat wali dan pasrah adalah sifat muwahhidin. Tawakal sifat orang awam, berserah diri sifat orang khusus dan pasrah sifat orang lebih khusus lagi. Tawakal ialah sifat nabi, berserah diri ialah sifat Ibrahim dan pasrah sifat Nabi Muhammad.”

Orang yang tawakal selalu menggantungkan diri dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dibelit masalah. Mereka tidak cepat berputus asas, sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Mereka hanya berserah (tawakal) kepada Allah selepas segala usaha dan ikhtiar dilakukan.

Mereka bertawakal kepada Allah kerana mereka mempunyai perasaan kuat Allah Yang Maha Pemberi segala-galanya. Allah memberi rezeki, memberi kejayaan, memberi kepandaian, memberi kesenangan, memberi keselamatan dan semuanya datang daripada Allah. Kita hanya berusaha mencari dan mendapatkannya.

Dalam al-Quran Allah berfirman bermaksud: “Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada Allah, jika kamu betul-betul beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23).

Allah sangat mencintai hamba-Nya yang bertawakal. Dan Allah akan memberikan jalan keluar serta akan memberikan rezeki yang datang tanpa disangkanya. Dengan kata lain, mereka (orang tawakal) tanpa gusar yakin terhadap ketentuan dan kekuasaan Allah hingga menyerahkan segenap permasalahan kepada-Nya semata.

Allah berfirman bermaksud: “Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya) . Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki- Nya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” (Surah Ath Thalaq ayat 3).

Dalam bukunya Para Kekasih Allah, Abdillah F Hasan berkata dalam al-Quran tidak kurang dari 40 ayat membahas masalah tawakal, baik dalam bentuk perintah mahupun keutamaan bagi hamba mampu melaksanakannya.

Yusuf al Qaadhawi dalam kitabnya Ath Thariq Ilalah, At Tawakal mengungkapkan mengenai keistimewaan disandang hamba Allah bertawakal kepada-Nya, iaitu timbul ketenteraman jiwa, kekuatan jiwa (kekuatan spiritual), kewibawaan, keredaan dan percaya diri.

Orang beriman yakin akan pertolongan Allah. Allah tidak akan membiarkan orang berjuang di jalan-Nya. Allah tetap menolong mereka, cuma cepat atau lambat saja.

Orang yang mantap dan teguh imannya tidak ragu-ragu dengan janji Allah ini. Mereka penuh yakin Allah tidak mengingkari janji kerana mereka tahu dan ingat keagungan Allah, kesempurnaan ilmu-Nya dan kudrat-Nya. Allah ingat kepada hamba-Nya yang tidak pernah lupa mengingati-Nya di mana-mana.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang yang beriman.” (Surah Ar-Rum ayat 47)