
Assalamualaikum warahmatullah,
Orang  yang sombong ialah orang yang memandang dirinya sangat sempurna dari  semua segi, sering memandang rendah orang lain, menganggap orang lain  tidak layak untuk mengerjakan suatu urusan, malah dia juga enggan  menerima kebenaran.
Rasulullah SAW telah menjelaskan tentang  bahaya sifat ini, sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud  r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak masuk syurga  sesiapa yang ada dalam hatinya sedikit sifat sombong.” Kemudian  seseorang berkata, “(Ya Rasulullah), sesungguhnya seseorang itu suka  pakaian dan kasutnya yang bagus.” Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah  itu indah dan Ðia menyukai keindahan, (dan yang dimaksudkan dengan)  kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang  lain.” (Hadis riwayat Muslim)
Tahap kesombongan yang paling  dahsyat adalah sombong kepada Allah dengan cara menolak kebenaran dan  angkuh untuk tunduk kepada-Nya. Hakikatnya, manusia tidak layak memiliki  sifat sombong kerana manusia hanyalah makhluk yang lemah.
Larangan berlagak sombong
Kadang-kala  kekuasaan, kekayaan dan kecantikan itu membuatkan seseorang berjalan  dengan megah, penuh kesombongan dan bongkak. Golongan ini sering  memandang rendah orang bawahan, miskin, lemah dan tidak memiliki taraf  yang sama dengan mereka.
Allah SWT berfirman maksudnya, “Ðan  janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada  manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong.  Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang sombong, takbur, lagi  membangga diri.” (Surah Luqman 31:18)
Allah  SWT melarang keras sikap suka merendahkan orang lain sehingga  memalingkan muka ketika berbicara. Allah juga murka kepada orang yang  sombong, keras kepala dan berbuat sesuka hati di muka bumi ini. Segala  kehebatan dan kekuasaan ini milik mutlak Allah Yang Maha Berkuasa.
Pintu hatinya terkunci mati
Firman  Allah SWT, mafhumnya, “Ðemikianlah Allah mengunci mati pintu hati  mereka yang sombong, lagi bermaharajalela dengan sewenang-wenangnya.”  (Surah Ghafir 40 : 35)
Sebagaimana Allah SWT mengunci mati hati  orang yang mempersoalkan ayat-ayat Allah, maka demikian juga Allah  mengunci mati hati orang yang sombong lagi berbuat sewenang-wenangnya.  Ini kerana, hati merupakan sumber kesombongan, sedangkan anggota tubuh  badan hanya tunduk dan patuh mengikut kehendak hati.
Orang yang  sombong juga akan mendapat kehinaan di dunia berupa kejahilan sebagai  balasan perbuatannya. Perhatikan firman Allah SWT yang bermaksud, “Aku  akan memalingkan (hati) orang yang sombong di muka bumi tanpa alasan  yang benar daripada (memahami) ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan  kekuasaan-Ku).” (Surah al-A’raf 7 : 146)
Sebenarnya, orang yang  sombong ini tidak dapat memahami ilmu-ilmu Allah. Kebijaksanaan mereka  tentang wahyu dan dalil-dalil yang menunjukkan tentang keagungan,  syariat, hukum-hukum Allah telah dipalingkan daripada hati mereka.
Hina di akhirat
Orang  yang sombong di akhirat nanti akan mendapat kehinaan daripada Allah SWT  dengan dikecilkan saiz tubuh merke sekecil semut, dan kehinaan datang  kepada mereka dari segenap penjuru.
Rasulullah SAW bersabda dalam  hal ini, mafhumnya, “Orang yang sombong akan dihimpunkan pada hari  kiamat dalam bentuk semut-semut kecil dengan rupa manusia. Ðari segala  tempat datang kehinaan kepada mereka, mereka digiring ke penjara; neraka  Jahanam yang disebut Bulas, di bahagian atasnya api yang menyala-nyala  dan mereka diberi minuman daripada kotoran (najis) penghuni neraka.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)
Walaupun berbagai-bagai  jenis ancaman telah Allah SWT jelaskan melalui firman-Nya, namun manusia  masih juga tidak insaf dan sedar. Masih ramai lagi manusia yang saban  hari menunjukkan sikap sombong. Tidak takutkah kita dengan api neraka?
Allah  SWT berfirman, mafhumnya, “(Setelah itu) dikatakan kepada mereka:  ‘Masuklah (melalui) pintu-pintu neraka Jahanam itu dengan keadaan  tinggal kekal kamu di dalamnya. Maka seburuk-buruk tempat bagi orang  yang sombong ialah neraka Jahanam.” (Surah al-Zumar 39 : 72)
Jika  kita perhatikan fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini,  ramai yang tidak mengendahkan hukum-hukum Allah SWT, tidak peduli antara  halal dan haram, memperkecilkan dosa dan pahala dan sebagainya. Mungkin  inilah akibat sombong, sehingga hati mereka terpesong.
Sama-samalah kita berdoa dan bermuhasabah diri supaya kita tidak memiliki sifat mazmumah ini.
Sumber : Hj Zainuddin Ali [zdin1963(at)yahoo.com], Solusi ISU#40